Walaupun bukan makanan asasi kita tapi saya percaya ramai antara kita yang suka makan pasta, makanan ruji orang Itali. Antara pasta yang paling terkenal adalah spaghetti. Seperti kebanyakan pasta kering yang lain, ia diperbuat daripada tepung suji (semolina), garam dan air. Antara pasta jenis lain adalah macaroni, fettucine, rigatoni, fusilli, angel hair dan banyak lagi variasi pasta yang kebanyakannya kita di sini tak pernah dengar. Pilihan pasta bergantung pada sos yang anda hendak sediakan. Contohnya, sos berkrim atau bertekstur pekat sesuai dengan pasta ‘berlubang’ seperti macaroni kerana sos itu boleh mengisi ruang bahagian dalamnya. Ini akan menyedapkan lagi masakan itu.
-
-
Fettucini
-
-
Fusili
-
-
Macaroni
-
-
Spaghetti
-
-
Rigatoni
-
-
Spaghetti Bolognese
Spaghetti Bolognese berasal dari Italy. Ia sangat popular sebagai hidangan makan tengahari atau malam. Ia juga mudah disediakan dan boleh dipanaskan pada bila-bila masa tanpa mengubah rasanya. Jadi ia sesuai sebagai hidangan ‘rumah terbuka’ atau majlis berunsurkan hidangan buffet. Bolognese adalah sos tomato berdaging. Jika tidak suka daging, boleh gunakan ayam. Namun begitu, warna sosnya tidak akan menjadi merah gelap. Ayam yang dibeli dalam bentuk siap dikisar juga mempunyai kandungan lemak yang tinggi kerana kulitnya dicampurkan sekali. Ini akan membuat sos berminyak dan tidak sedap.
Bolognese adalah sos tomato berdaging.
Sebaik-baiknya, pilih daging kisar yang tinggi mutunya. Daging jenis ini paling rendah kandungan lemaknya. Jika dibeli dalam bentuk dinginbeku, hendaklah dibiar pada suhu bilik hingga lembut. Anda tidak digalakkan merendamnya di dalam air panas kerana langkah ini akan merosakkan daging tersebut.
Supaya sajian lebih sempurna, gunakan bawang besar jenis Holland yang putih. Elakkan daripada menggunakan bawang besar Bombay yang merah. Bawang Bombay lebih sesuai dengan masakan berempah atau bercili. Manakala bawang Holland untuk masakan Barat kerana rasa dan baunya yang tidak begitu kuat.
Bahan lain yang tidak kurang penting adalah tomato. Untuk rasa yang lebih istimewa, gunakan tomato segar. Untuk membuang kulitnya, potong bentuk ‘X’ di bawah tomato. Celur di dalam air mendidih hingga kulitnya terbuka. Keluarkan tomato, letak di dalam mangkuk berisi air biasa. Kupas kulit tadi. Belah 4 dan keluarkan empulur yang mengandungi biji. Kemudian kisar dengan sedikit air hingga hancur.
Selain tomato segar, anda boleh pilih tomato di dalam tin. Ada pelbagai jenama di pasaran. Pilihlah jenis whole peeled tomatoes. Tomato jenis ini tidak berkulit. Kisar dengan airnya sekali sebelum digunakan. Ada juga jenis yang mempunyai campuran cili Benggala (bell peppers) atau herba. Walau apa sekalipun pilihan, kisar terlebih dulu supaya sos menjadi lebih pekat.
Satu lagi bahan yang tidak kurang penting adalah puri tomato. Jangan keliru dengan stewed tomatoes yang lebih cair. Jangan gunakan puri terlalu banyak kerana sos akan menjadi masam. Setiap kali memasukkan puri tomato ke dalam masakan, anda perlu mencampurkan gula untuk mengurangkan rasa masam puri tersebut.
Lazimnya Spaghetti Bolognese disajikan dengan parutan keju Parmesan atau lain-lain. Ia juga enak dimakan dengan parutan Mozarella. Tidak semua keju yang dijual di pasaraya halal. Bagi orang Islam, perlu perhatikan bahan-bahan yang terkandung di dalamnya. Rennet mungkin daripada sumber tulang binatang yang tidak disembelih.
Jika membeli keju di dalam bentuk block, parut halus sejurus sebelum disajikan. Kebiasaannya, keju diletak di dalam mangkuk kecil kerana sesetengah orang tidak gemarkannya. Tetamu boleh mengambil sebanyak mana yang mereka sukai.
Apakah rahsia untuk sos yang sedap? Di Italy, sos disediakan dengan tomato segar dan dididihkan atas api perlahan untuk dihidangkan pada waktu malam. Jadi, kesimpulannya, setelah sos mendidih, renihkan hingga pekat. Namun begitu, ia hendaklah dikacau sekali-sekala. Dengan kaedah memasak di atas api perlahan, dagingnya juga akan empuk dan mesra dengan bahan lain.
Untuk mengharumkan masakan ini, gunakan herba seperti daun bay, oregano, thyme dan rosemary. Ia dijual di dalam botol kecil (bentuk kering). Jika anda boleh membeli herba segar, gunakan dua kali ganda daripada sukatan keringnya. Contohnya, 1 sudu besar oregano kering sama dengan 2 sudu besar oregano segar. Cincang halus dan taburkan setelah sos masak kerana keharumannya akan kekal lebih lama.
Untuk memasak spaghetti, jerang air di dalam periuk besar. Setelah mendidih, masukkan sedikit garam dan minyak. Bubuh spaghetti dan kacau supaya ia tidak melekat. Bila spaghetti menjadi al dente, tuangkan ke dalam penapis. Al dente adalah tahap di mana spaghetti atau sebarang jenis pasta yang lain sudah masak tetapi masih ‘rangup’ dan tidak terlalu lembik.
Spaghetti jenis segar atau fresh tidak perlukan masa yang lama untuk dimasak seperti spaghetti kering. Jika masih ada baki sos daging, boleh dijadikan topping atau bahan atas pizza. Selain itu, ia juga sebagai salah satu bahan utama dalam membuat Lasagne.
RESEPI SPAGHETTI BOLOGNESE
Bahan-Bahan
- 2 sudu besar minyak
- 4 ulas bawang putih – ditumbuk halus
- 1 labu bawang besar (jenis putih) – dikiub ½ cm
- 1 helai daun bay kering
- 400 gm daging kisar
- 400 gm tomato dalam tin – dikisar
- 500 ml air
- 2 sudu besar puri tomato
- 1 kiub stok daging
- 2 sudu besar oregano kering
- 500 gm spaghetti – direbus al dente
- Parutan keju secukupnya
- Gula & garam secukup rasa
Cara membuatnya
1. Panaskan minyak. Tumis bawang putih, bawang besar dan daun bay hingga keemasan.
2. Masukkan daging, kacau hingga berubah warna dan kering airnya.
3. Campurkan tomato, air, stok, puri, oregano, gula dan garam.
4. Kacau hingga mendidih kemudian perlahankan api.
5. Masak selama 45 minit atau hingga kuah pekat.
6. Sajikan panas-panas dengan spaghetti dan keju parut.

Disunting dari artikel asal : Puan Norzailina Nordin - Alaf21